Hati Yang Bersih
Sikap seorang yang bersih hatinya,
senang sahaja dengan manusia di dalam pergaulannya
Hatinya dengan Tuhan, jasadnya dengan manusia
Boleh bergaul di dalam apa sahaja keadaan, hatinya terpelihara
Dia tidak dapat dicorak oleh masyarakatnya
Sentiasa berlapang dada, sering bertolak ansur sesama manusia
Dengan karenah manusia dia berlapang dada menerimanya
Kesalahan dan kesilapan manusia dia mudah memaafkannya
Kalau dia bersalah, mudah pula meminta maaf kepada mereka
Bertimbang rasa, rasa bersama bekerjasama sesama manusia
selagi tidak ada pantang-larang agama
Sanggup bersusah payah kerana orang yang memerlukan tenaga dan bantuannya
Boleh menanggung penderitaan, tidak menyusahkan orang
Hatinya susah kerana kesusahan orang, senang kerana kesenangan orang
Kelebihan orang dia tidak hasad dengki
Kemiskinan orang atau kelemahannya tidak pula menghinanya
Suka menolong orang, mudah menerima keuzuran manusia
Suka menunaikan hajat orang, selagi mampu mengusahakannya
Susah hatinya kalau hajat orang tidak dapat ditunaikannya
Dia gelisah dengan dunia, berdisiplin orangnya
Hatinya tenang dengan dunia, rasa bimbang dengan Akhiratnya
Baik sangka dengan orang atau manusia
Kalau dia nampak orang ada cacat celanya, dia takwil untuk membaiki hatinya
Hatinya berkata dia bersalah di dalam kejahilan, aku bersalah di dalam pengetahuan
Mungkin dia tidak sengaja atau dia terlupa
Setiap takdir Tuhan dia redha, ujian sabar menerimanya
Mendapat rahmat dan nikmat, dia malu dengan Tuhannya
Syukurnya sangat ketara kerana rahmat dan nikmat Tuhannya
Tawadhuknya jadi budaya hidupnya, sangat ketara di dalam pergaulannya
Jarang ada manusia begini gambaran hidupnya
Kalau ada macam gagak putih di tengah gagak hitam, jarang ada..
hayatilah dan kita berusaha kearah itu...